Jadikan 14 hari PKP pemula budaya baharu
Mulai sekarang, dalam tempoh bertenang selama 14 hari ini - mulakan budaya perpustakaan di rumah anda. Ikuti budaya IQ yang dibangunkan Khalifah Harun Al Rasyid (766-809) ialah Khalifah Kelima Bani Abbasiyah. Si pintar ini bergelar khalifah pada t786 Masehi ketika berusia 20 tahun. Selepas empat khalifah Urasyiddin (Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali), nama Harun Al Rasyid dianggap khalifah paling hebat dalam sejarah Islam.
Harun Al Rasyid ialah khalifah yang memulakan sejarah perpustakaan dalam empayar Islam. Anak kelahiran al Rayy (Iran) ini bertangungungjawab dalam membangunkan dunia cendikiawan. Peluasan ilmu dalam konsep perpustakaan awam Baitul Hikmah berjaya melahirkan para cendekia Islam yang mempengaruhi peradaban dan tamadun dunia. Antaranya Al Biruni, Ibnu Batuta, Al Farabi, Al Khawarizmi, Al Khindi, Ibnu Haitam, Ibnu Sina dan Al Ghazali.
Khalifah Harun Al Rasyid meneruskan amalan Rasulullah SAW dalam membina tamadun ilmu sebagai teras peradaban Islam. Harun Al Rasyid yakin, kekuatan Islam pada era dakwahnya wajar berkembang dengan meluaskan budaya keilmuan - penulisan dan pembacaan. Atas kesedaran itu, khalifah hebat ini membina perpustakaan Baitul Hikmah di Baghdad pada abad kelapan.
Malaysia mundur membaca
Ketika minat membaca rakyat Malaysia hanya sekitar 1.7 muka surat sehari - serta gangguan mentaliti akibat pengaruh gosip dan sensasi media sosial - pengukuhan budaya membaca adalah pilihan terbaik. Negarawan hebat seperti Tun Dr Mahathir Mohamad tetap aktif membaca pada usia 90-an. Pada Disember 2018, Dr Mahathir berkongsi di Instagram mengenai cuti pendek hujung tahun yang digunakan untuk membaca.
Dr Mahathir membaca novel best seller A Street Cat Name Bob karya James Bowen. Ia mengejutkan. Manakan tidak - negarawan yang sibuk mentadbir negara masih berusaha meluangkan masa membaca. Malah, memilih buku biografi yang unik. Kisah seekor kucing jalanan yang mengubah kehidupan seorang penagih dadah dan pemuzik gelandangan.
Bila kali terakhir anda membaca buku berkualiti? Paling tidak buku yang anda fikir berjaya meningkatkan IQ dan memberikan pengalaman pembacaan yang berguna. Pasti ada - cuma barangkali hanya sebuah dua? Tidak mengapa, jadikan cuti PKP sebagai detik terbaik bersama keluarga dan memulakan budaya membaca di rumah. Cerdikkan IQ. Kalau tidak, jenuh anda akan dibuli dalam persekitaran gosip sensasi media sosial.
IQ anda tidak akan meningkat dengan dengan menyibukkan diri bersama penggosip media sosial yang sibuk mencetuskan rasa panik masyarakat. Anda pasti tidak mahu menjadi orang bodoh di media sosial. Ayuh, segera tingkatkan IQ anda. Mulakan sekarang. Jadikan tempoh PKP sebagai detik meraikan kebangkitan pustaka minda melalui budaya membaca.
* Zainal Rashid Ahmad merupakan wartawan dan penulis sastera. Beliau telah banyak novel antaranya Hikayat Tanah Jauh (2015), kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014) dan lain-lain.
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.
Sumber: Astro Awani/KLWBC2020, Artikel bertarikh 20 Mac 2020.