Lokasi Video Muzik Siapa Tak Mahu. Gambar - facebook.com/rumahtangsi
Rumah Tangsi
Tahukah anda lokasi muzik video terbaru DS Siti Nurhaliza yang berjudul 'Siapa Tak Mahu'? Itulah Rumah Tangsi, sebuah bangunan warisan yang terletak di Nombor 10 Jalan Tangsi, berada tidak jauh dari Perpustakaan Kuala Lumpur, Dataran Merdeka dan River of Life. Bangunan tersebut mula didiami pada tahun 1907.
Rumah Tangsi atau nama asalnya ‘Rumah Agam Loke Chow Kit’ merupakan bangunan dibawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan telah diwartakan sebagai bangunan Warisan pada tahun 2012. Segala proses pemelihara dan pemuliharaan telah dilakukan bagi mengekalkan bangunan warisan ini untuk generasi akan datang.
Rumah Tangsi, Pejabat Operasi KLWBC 2020. Gambar - facebook.com/rumahtangsi
Bahagian Pejabat Operasi KLWBC2020
Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020 (KLWBC2020)
Sempena Kuala Lumpur telah diumumkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia yang ke-20 oleh UNESCO, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah membuka pejabat operasi KLWBC di Rumah Tangsi dengan menyediakan pelbagai kemudahan operasi. Tempoh penganugerahan tersebut adalah selama setahun bermula pada 23 April 2020. Pejabat operasi KLWBC ini akan beroperasi sepenuh masa sehinggalah tamat peranan Kuala Lumpur sebagai ‘ World Book capital.’
Jika Ibu Kota Buku Dunia yang keenam (2006) iaitu Turin menjadikan bangunan lama Palazzo Graneri della Roccia yang dibina pada tahun 1600-an sebagai lokasi utama untuk pembaca dan penulis menjalankan aktiviti berkaitan buku, sastera, kaligrafi, penulisan dan sebagainya, kita juga ada Rumah Tangsi untuk menjalankan aktiviti perbukuan, kesusasteraan dan gerakan membaca sempena KLWBC 2020. Pelbagai aktiviti telah berlangsung, antaranya pertemuan dengan penggiat industri buku, KL Story Fest 2019, program sembang santai bersama dengan Sasterawan Negara (SN) Datuk A. Samad Said, dan sebagainya.
Pertemuan dengan Penggiat Industri Buku
Program Sembang Santai Bersama dengan Sasterawan Negara (SN) Datuk A. Samad Said
Pada asalnya, lebih banyak program dan aktiviti yang telah dirancang untuk Rumah Tangsi bagi tahun 2020. Namun, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), program dan aktiviti tersebut dijalankan secara dalam talian melalui Facebook dan Instagram @kualalumpurwbc, seiring dengan norma baharu. Walau bagaimanapun, anda boleh singgah di pejabat operasi KLWBC dan mengambil gambar sebagai kenangan sebelum berakhirnya tempoh penganugerahan iaitu pada 22 April 2021. Jika anda muat naik gambar kenangan tersebut, jangan lupa tag kami ya!
Tempat bergambar dihadapan Rumah Tangsi sebagai kenangan.
Cara untuk mendapatkan cenderamata KLWBC 2020.
1) Hasilkan pantun 4 kerat mengandungi perkataan Rumah Tangsi dan Buku.
2) Buat poster ringkas untuk pantun tersebut.
3) 'Like' dan 'follow' media sosial @kualalumpurwbc. Muat naik poster tersebut di media sosial anda (Facebook atau Instagram) dan Tag @KualaLumpurWBC.
4) Pastikan akaun media sosial anda ‘public’
Pantun yang menarik akan dipilih untuk mendapat cenderamata KLWBC sebagai kenangan. Penyertaan adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia sehingga 4 November 2020. Mari bersama-sama kita raikan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020 dalam norma baharu. Jom Baca!