Program Pembacaan Sempena KLWBC 2020
Norma Baharu Dalam e-Reading
Program Pembacaan sempena Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) adalah antara program yang dinanti-nantikan oleh ramai pengurus perpustakaan, tidak terkecuali Guru Perpustakaan dan Media (GPM) seluruh Malaysia. Program anjuran Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM) ini turut melibatkan pelbagai organisasi serta pertubuhan perbukuan dan maklumat dari seluruh Negara.
Pada 11 Disember 2020 perkongsian oleh barisan Guru Perpustakaan dan Media yang dikenali sebagai tim PSS Idaman, membawa kupasan yang menarik dan sesuai dengan situasi norma baharu dalam perkhidmatan Pusat Sumber Sekolah. Mereka telah berkongsi pengalaman melaksanakan aktiviti pembacaan berkonsepkan ‘e-Reading’ di sekolah dan di rumah berdasarkan kepada pecahan lima tajuk yang sangat menarik, iaitu :
1) Khidmat Bantu Komuniti Norma Baharu
2) Studio Green Screen PSS
3) Jaringan dan Jalinan Norma Baharu
4) Rak Digital
5) Program NILAM Atas Talian
Pembentangan pertama telah dimulakan oleh Prasad bin Ridwan, Ikon Guru Perpustakaan dan Media Negeri Sabah yang berkhidmat di SK Kg Titingan, Tawau. Beliau mengetengahkan tajuk “Khidmat Bantu Komuniti Norma Baharu” di mana SK Kg Titingan sememangnya merupakan salah satu sekolah contoh terbaik pelaksanaan pusat sumber komuniti.
Merujuk kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025, anjakan kesembilan dilihat memberikan penekanan terhadap penglibatan ibu bapa, komuniti dan pihak swasta dalam memperkasakan sekolah. Komuniti dilibatkan dengan tujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada ibu bapa untuk turut sama membantu dalam menyemai minat membaca dalam kalangan anak-anak bermula dari rumah. Selain itu, penglibatan komuniti ini juga bertujuan untuk menyemai rasa tanggungjawab dalam kalangan ibu bapa tentang peri pentingnya kerjasama ibu bapa dan sekolah dalam meningkatkan kecemerlangan murid dan menggalakkan minat membaca. Penglibatan ibu bapa sebagai role model juga dapat menjadi pemangkin buat anak-anak pelajar menyemai rasa cintakan ilmu.
Pelbagai aktiviti khidmat bantu melibatkan komuniti dapat dijalankan oleh pusat sumber sekolah. Antaranya adalah aktiviti pembelajaran bersama anak-anak jiran dengan adanya perpustakaan mini di setiap kediaman. Selain itu, pelbagai aktiviti PSS komuniti dapat dirancang dan dilaksanakan termasuk juga aktiviti ulasan buku dalam kalangan murid dan ibu bapa. Mungkin boleh dilakukan dalam bentuk rakaman video pendek bertujuan untuk mempromosikan buku yang dibaca dalam kalangan komuniti.
Segmen kedua bertajuk “Studio Green Screen” dibentangkan oleh Mohammad Noor Azlan bin Idris, Guru Cemerlang GPM SMK Syed Abu Bakar, Baling, Kedah. Beliau berkongsi pengalaman mengaplikasikan teknik ‘green screen’ dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran sepanjang PKP berlangsung. Teknik rakaman menggunakan ‘green screen’ yang dikongsikan sememangnya amat menarik dan boleh dipelbagaikan mengikut kreativiti. Apa yang ingin ditonjolkan oleh pembentang adalah bagaimana beliau mampu mengaplikasikan penggunaan teknologi ‘green screen’ dalam menggalakkan dan menyemai aktiviti membaca dalam kalangan pelajarnya. Penggunaan video sememangnya boleh menjadi satu nilai tambah dalam aktiviti e-Reading. Studio Green Screen pula berperanan untuk menghasilkan video yang lebih kreatif dan segar dengan keupayaan "editing" yang lebih mantap, malahan berupaya menjadi hub dan saluran alternatif kepada para pelajar di alam maya apatah lagi dalam keadaan pandemik covid-19.
Segmen ketiga pula memperlihatkan pembentangan oleh Ikon Guru Perpustakaan Media Kebangsaan 2018 iaitu Shah Ridha bin Abdul Jalil, dari SMK Seri Pulau Perdana, Johor. Tajuk yang dipilih adalah “Jaringan dan Jalinan Norma Baharu”. Meskipun dalam pematuhan SOP, tidak seharusnya kita berhenti dari menjalankan tugas dan aktiviti kebiasaan kita di pusat sumber. Antaranya adalah aktiviti jaringan dan jalinan yang sememangnya menjadi satu aktiviti wajib pusat sumber dalam usaha mempromosikan perkhidmatan pusat sumber, mendapat khidmat bantu dari pihak luar dan banyak lagi. Dalam suasana norma baharu sekarang, kita masih boleh meneruskan aktiviti jaringan dan jalinan kita bersama dengan rakan perkongsian strategik kita dengan mengaplikasikan penggunaan teknologi.
Seperti yang kita sedia maklum, jaringan merupakan hubungan antara PSS dengan pihak luar yang berasaskan kepada pendidikan manakala jalinan pula merujuk kepada hubungan PSS yang tidak berasaskan kepada pendidikan, namun ia lebih kepada tujuan untuk mendapat khidmat bantu dari segi dana dan peningkatan perkhidmatan. Sememangnya PSS amat perlu kepada aktiviti jaringan dan jalinan. Adalah diharapkan, lebih banyak agensi luar yang sudi untuk bekerjasama dengan pusat sumber sekolah bagi memastikan peranan pusat sumber sekolah sebagai agen khidmat bantu kurikulum dan agen kecemerlangan ini dapat ditingkatkan dari masa ke masa.
Segmen keempat dengan tajuk “Rak Digital” telah dibentangkan oleh Sharifah Juliana binti Syed Abd Rahman, Ikon Guru Perpustakaan dan Media Negeri Terengganu 2018 yang berkhidmat di SMK Seri Nilam, Terengganu. Perkongsian ini adalah lebih tertumpu kepada penyediaan rak digital bagi memastikan pelajar dan guru di sekolah punya cukup bahan dan punya banyak pilihan untuk aktiviti pembacaan walaupun mereka hanya berada di rumah, dan tidak dapat datang ke perpustakaan atas sebab PKP dan pematuhan kepada SOP. Ia bertepatan dengan kehendak Strategi Pendidikan Digital 2020 – 2025, dengan merujuk kepada Teras 4 iaitu Persekitaran Yang Mengupayakan, di mana pusat sumber sekolah sememangnya amat berperanan dalam mereka bentuk semula ruang pembelajaran serta menyediakan kemudahan dan teknologi yang mengupayakan akses dan penggunaan. Fokus diberi kepada sumber yang pelbagai dan mudah diakses sepanjang masa. Penyediaan rak digital dilihat mampu untuk mengisi sebahagian daripada kehendak kementerian dalam evolusi kita bergerak ke era Revolusi Industri Ke-4.
Peralihan ke norma baharu sememangnya tidak mengekang pusat sumber untuk berhenti dari terus memberikan perkhidmatan. Pusat sumber masih mampu untuk beroperasi dan menyediakan perkhidmatan terbaik buat semua warga sekolah walaupun hanya mampu beroperasi secara atas talian. Salah satu alternatif yang boleh diambil oleh pusat sumber sekolah dalam meneruskan aktiviti pembacaan adalah melalui penyediaan Rak Digital. Pelbagai platform boleh kita gunakan secara percuma. Namun, walaupun ada limitasi dalam akaun yang didaftarkan secara percuma, rak digital yang dihasilkan masih boleh berfungsi dengan baik dan sememangnya mencapai keberhasilan iaitu menyediakan sumber bahan yang pelbagai dengan capaian yang sangat mudah. Pengguna boleh menggunakan aplikasi dari beberapa laman sesawang untuk membangunkan rak digital. Antaranya yang banyak menjadi pilihan adalah www.bookcreator.com, www.fliphtml5.com, www.flipsnack.com, www.anyflip.com dan beberapa laman lagi. Pengguna juga boleh menggunakan aplikasi yang lebih mudah iaitu dengan menggunakan aplikasi Google seperti Google Slide dan Google Site.
Pelbagai bahan boleh dipautkan ke rak digital dan semestinya Rak Digital ini mampu menjana minat pelajar dan guru untuk menjalankan aktiviti pembacaan secara atas talian dengan seleksi bahan yang pelbagai seperti buku yang boleh diselak dengan bertemankan bunyi, animasi yang menarik (flipping book), pelbagai buku audio dan koleksi video bacaan kuat. Pengguna juga boleh memanfaatkan kemudahan perkhidmatan DELIMa yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia iaitu terdapat satu pautan khas ke laman Perpustakaan Negara Malaysia iaitu PNM.Overdrive.com. Hanya perlu daftarkan keahlian sebagai ahli u-Pustaka dan keahlian anda itu boleh dimanfaatkan untuk kita mengakses pelbagai jenis pangkalan data PNM.
Segmen 5 telah dibentangkan oleh Dr. Zuridah Hanim binti Md Akhir dengan tajuk “Pengurusan NILAM Atas Talian”. Pembentang adalah Guru Cemerlang Guru Perpustakaan dan Media dari SMK Sultanah Bahiyah, Kedah, juga ikon Guru Perpustakaan dan Media Negeri Kedah 2019 dan mempunyai banyak kemahiran dalam merekacipta pelbagai aktiviti berkait dengan NILAM dan Literasi Maklumat di pusat sumber. NILAM merupakan program galakan membaca di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar dan tidak terkecuali juga guru. Pelaksanaan NILAM saban tahun dinilai melalui kutipan data yang berterusan sepanjang tempoh persekolahan di peringkat rendah maupun menengah dan diambil kira dalam PAJSK dan perlu dicatatkan dalam Sijil berhenti Sekolah. Pusat Sumber Sekolah SMK Sultanah Bahiyah, Kedah telah menghasilkan satu inovasi yang diberi nama Kit MDS di mana inovasi Kit MDS ini telah dirancang secara berfokus berdasarkan kepada permasalahan yang telah dikaji dan diambil kira bagi memastikan program NILAM boleh terus dilaksanakan walaupun Pusat Sumber Sekolah terpaksa ditutup. Pencapaian Kit MDS ini telah menunjukkan satu peningkatan besar dalam pencapaian NILAM sekolah di mana penggunaan e-Reading telah meningkat dengan penglibatan lebih banyak pihak termasuk para guru, ibu bapa serta rakan perkongsian strategik sekolah walaupun ada kekangan dalam kalangan pelajar di mana tidak semua pelajar dapat membuat capaian kepada sumber bahan yang disediakan disebabkan ketiadaan akses internet.
Tim PSS Idaman ini juga telah menghasilkan tiga buah buku iaitu :
1) Panduan PSS Idaman
Mengandungi 25 rahsia, pengalaman dan panduan yang ditulis oleh para penulis berdasarkan pengalaman mereka. Penulis membangunkan PSS dengan penuh keseronokkan dan ‘enjoy’
2) Panduan PSS Idaman 2
Sekuel kepada buku pertama. Mengandungi panduan 26 hingga panduan ke-50 bagaimana hendak membangunkan PSS Idaman. Lebih berfokus kepada pembangunan motivasi GPM secara santai.
3) Kajian Tindakan Membangun PSS Idaman
Perkongsian 10 kajian tindakan yang telah dijalankan sendiri oleh penulis di sekolah.